Sunday, June 27, 2010

Heli Terhempas Seorang Maut

Juruterbang warga AS terbunuh, sementara pembantunya parah dalam tragedi itu

BEDAH  SIASAT: Mayat Scott diangkat oleh anggota paramedik sejurus tiba di  Hospital Umum Sarawak pada jam 4.10 semalam.

BEDAH SIASAT: Mayat Scott diangkat oleh anggota paramedik sejurus tiba di Hospital Umum Sarawak pada jam 4.10 semalam.

MIRI: Seorang juruterbang terbunuh manakala pembantunya cedera parah apabila pesawat helikopter jenis Sikorsky milik sebuah syarikat pembalakan di negeri ini terhempas di tengah hutan kira-kira 50 batu dari selatan kawasan Long Akah di Ulu Baram, petang Jumaat.

Juruterbang pesawat, William Charles Scott, 52, warganegara Amerika Syarikat (AS) maut di tempat kejadian sementara pembantu juruterbang yang juga rakan senegaranya, David William Bergin, 49, cedera parah.

Dalam kejadian yang berlaku kira-kira jam 4.30 petang itu, kedua-dua mangsa dikatakan sedang menjalankan rutin harian mereka, membawa balak dari hutan ke kem pembalakan syarikat di Kilo-meter 10, Ulu Baram.

Ketua Polis Baram, Deputi Superintenden Polis (DSP) Abu Bakar Mokhtar ketika dihubungi berkata bilik gera-kan mencari dan menyelamat (SAR) telah diaktifkan pada hari kejadian bagi membawa mangsa keluar dari hutan.

Beliau bersama lima lagi pegawainya dari Marudi dan Long Lama yang dimaklumkan dengan kejadian itu kemudiannya bergegas ke lokasi kejadian yang mengambil masa perjalanan selama lima jam.

Beliau seterusnya menambah, mayat William telah berjaya dikeluarkan oleh pasukan SAR tengahari semalam dan telah dibawa terus ke Kuching untuk dihantar pulang ke negara asalnya.

“Mayat mangsa berjaya kita keluarkan dan kini kita sedang dalam perjalanan untuk membawa mayat William ke Kuching sementara siasatan terhadap nahas itu diteruskan,” katanya semalam.

Kejadian yang berlaku dalam hutan simpan antara Long Pelutan dan Long Akah tersebut adalah kawasan operasi syarikat pembalakan bagi mengeluarkan balak.

Dalam perkembangan berkaitan, pembantu juruterbang helicopter itu, David William Bergin telah dikeluarkan oleh pekerja syarikat pembalakan yang turut berada di lokasi kejadian.

Utusan Borneo diberitahu bahawa David William yang mengalami kecederaan kepala dan lengan sedang menerima rawatan susulan di Pusat Rawatan Colombia Asia Miri.

Dalam pada itu, Balai Polis Marudi ketika dihubungi semalam memberitahu pihaknya menerima laporan kejadian itu kira-kira jam 7.19 petang Jumaat.

Sementara itu di KUCHING, mayat mendiang William tiba di Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk bedah siasat kira-kira jam 4.15 petang semalam.

Mayat juruterbang itu diterbangkan dari Miri Ke Kuching turut dengan diiringi oleh DSP Abu Bakar.

Abu Bakar yang ditemui di HUS semalam, mayat mendiang Scott hanya akan dihantar pulang ke negara asalnya selepas selesai bedah siasat.

Ia adalah kes pertama yang melibatkan kematian warga asing dan tragedi kedua yang berlaku di negeri ini. Nahas pesawat yang pertama berlaku pada Januari tahun ini di Simunjan yang turut mengorbankannya juruterbangnya.

No comments:

Post a Comment