Sunday, June 27, 2010

MENGIBARKAN PANJI-PANJI NEGARA.

SAYA TETARIK DENGAN HUJAH PERDANA MENTERI MALAYSIA....JADI SAYA TELAH MENGISINYA KE DALAM BLOG SAYA SENDIRI SEBAGAI PERINGATAN KEPADA SAYA DAN KITA SEMUA RAKYAT MALAYSIA....

Semasa kunjungan saya ke negara-negara ASEAN tempoh hari, saya gembira memerhatikan bahawa bendera Malaysia kita benar-benar berkibar dengan megahnya di negara-negara ini. Tenaga kerja dan juga perniagaan kita yang diwujudkan oleh syarikat-syarikat Malaysia di negara-negara ini menjadi bukti bahawa Malaysia berada di landasan kemajuan yang betul. Ketika saya sedang meneliti kerja-kerja saya yang bertimbun di pejabat minggu ini, saya terfikir alangkah baiknya jika saya berkongsi peta minda yang terdapat di atas meja saya, melalui blog ini, seperti mana yang telah saya lakukan dengan rakyat Malaysiadi luar negara semasa lawatan saya di Laos.

Kenyataannya, kita boleh berbangga kerana telah membuatkan kehadiran negara kita terasa di banyak negara termasuk di kota raya yang maju dan sedang membangun di serata dunia. Saya berharap ini akan menjadi perangsang kepada rakyat Malaysia di seluruh dunia – bahawa semangat keusahawanan itu sangat jitu dan mestilah sesuatu yang boleh kita gerakkan dengan penuh rasa bangga. Kita melihat segala kemungkinan di banyak tempat – waima di tempat-tempat yang jauh terpencil, dan tidak diketahui benar sekali pun – tetapi memberikan banyak peluang kepada kita. Dan rakyat Malaysia mestilah mencari peluang itu di mana sahaja mereka berada, sama ada di negara-negara maju atau sedang membangun.

Cabaran yang kita hadapi agak berbeza daripada cabaran yang diterima oleh negara-negara lain, namun kita tidak boleh berpuas hati dengan kejayaan kita disebabkan persekitarannya telah berubah dengan jelas sekali. Sebagai contoh, pada tahun 70-an dan awal 80-an, saat kita sedang menikmati kadar pertumbuhan yang tinggi sebelum krisis kewangan Asia, banyak negara mengamalkan ekonomi tertutup. Mereka tidak bersedia untuk berubah, tidak juga bersedia untuk meliberalisasi. Tetapi hari ini, hampir setiap negara telah menerima dasar mesra pasaran. Satu-satunya perkara yang tidak berubah ialah sistem tadbir urus. Dan negara-negara ini seperti RDR Laos, Kemboja, Vietnam dan lain-lain lagi yang dahulunya tidak terlibat dalam ekonomi terbuka pada tahun 70-an - mereka hanya ikut serta pada tahun 80-an dengan kenyataan rasmi Deng Xiapong yang terkenal itu: tidak menjadi persoalan apa warna kucing itu asalkan ia boleh menangkap tikus. Ini ialah orang-orang yang sangat pragmatik.

Jadi dunia telah berubah. Malaysia tiada pilihan lain; sama ada terjerat sebagai negara yang berpendapatan sederhana dan jika kita terjerat, maka ada kemungkinan juga negara lain akan melompat lebih jauh ke hadapan daripada kita. Ini kerana mereka tidak melihat kepada perubahan tambahan; mereka melihat kepada perubahan teknologi besar-besaran yang mana akan membolehkan mereka melompat lebih jauh ke hadapan mengatasi negara lain.

Itulah sebabnya kenapa kita tidak harus berpuas hati dengan kejayaan kita. Kita seharusnya tidak memikirkan bahawa dasar-dasar yang sama ini, yang baik bagi kita pada tahun 70-an dan 80-an akan berterusan, jika suasananya sudah berubah. Kita mesti mara ke hadapan, dengan dasar-dasar baru yang akan membuatkan kita berdaya saing di peringkat dunia. Kata kuncinya adalah berdaya saing di peringkat dunia. Kita tidak akan berjaya jika kita tidak berdaya saing di peringkat dunia.

Jika kita berdaya saing di peringkat dunia maka itu, Malaysia boleh mencapai Wawasan 2020. Kita mahu menjadi negara maju, kita bercita-cita untuk menjadi negara maju. Kita telah mentakrif apa maknanya negara maju dari segi pendapatan per kapita. Kita mahu meningkatkan pendapatan setiap orang daripada secara kasarnya sekitar USD7,000 kepada USD15,000 dalam tempoh 10 tahun. Dan itulah caranya kita mentakrifkan sebuah negara maju seringkas-ringkasnya.

Namun per kapita bukanlah segala-galanya; ia perlu merangkumi semua. Hasil kejayaan kita sebagai satu negara ekonomi mestilah dikongsi bersama oleh semua rakyat Malaysia. Ia tidak boleh hanya segolongan elit sahaja yang menikmati hasil kejayaan kita itu; ia seharusnya disebarluaskan merata-rata secara saksama. Oleh yang demikian, keterangkuman atau keterlibatan itu penting dan tiada sesiapa pun yang akan dipinggirkan. Itulah sebabnya kenapa kita menghasilkan kata-kata azimat 1Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan. 1Malaysia adalah tentang kebersamaan, tentang berkongsi kejayaan ekonomi Malaysia, yang seharusnya semua orang mendapat manfaat daripadanya dan ia adalah pengagihan yang adil dan saksama.

Kami juga percaya bahawa transformasi ekonomi ini ialah satu perjalanan yang penuh cabaran juga keseronokan, kerana rakyat Malaysia boleh melakukannya. Dan kita telah membuktikan dalam tempoh satu tahun sahaja dengan dua kejayaan besar. Sungguhpun diperkecilkan atau dianggap tidak serius disebabkan beberapa isu dari semasa ke semasa, namun dalam tempoh setahun sahaja kita telah mengubah ekonomi dari satu kemelesetan kepada satu ekonomi yang berjaya mencapai pertumbuhan sebanyak 10.1% dalam satu suku tahun.

Satu lagi kejayaan yang telah kita capai dalam tempoh setahun ialah indeks daya saing dunia kita telah melompat ke tangga 10 dari tangga ke-18. Kita kini berada dalam golongan 10 negara teratas di dunia, dan kita boleh berbangga dengan kejayaan itu. Sekali lagi, ketika kita sedang memupuk budaya kecemerlangan, kita tidak akan berhenti pada kedudukan 10 teratas itu. Saya mahukan kita berada dalam golongan lima teratas; saya mahu kita berada di peringkat yang lebih tinggi.

Kita kini sedang mencuba sedaya upaya kita. Saya sedang berusaha. Saya telah menyebutnya di Twitter saya sebelum ini, "Saya terasa tekanannya sekarang, sejak siang saya menjadi semakin panjang dan malam saya menjadi semakin singkat." Saya tidak kisah bekerja keras; pada saya kerja keras itu baik kerana saya akan terdorong melakukan yang terbaik. Sebagai sebuah Kerajaan kita perlu lakukan yang terbaik. Saya perlu mendahului kepimpinan untuk menunjukkan bahawa saya serius, komited, dan berdedikasi dalam perkara ini. Saya jamin, sebagai Perdana Menteri, saya akan melakukan sedaya upaya saya untuk mentransformasikan Malaysia.

Tentulah dalam perjalanan ini saya tidak boleh lakukannya bersendirian; saya memerlukan rakan-rakan seperjuangan saya dalam Kerajaan, kesemua yang berada dalam sektor swasta dan swasta awam. Saya memerlukan setiap rakyat Malaysia, di mana sahaja anda berada, untuk bersama-sama saya, berganding bahu untuk mencapai sesuatu yang luar biasa. Semuanya adalah untuk mencapai kejayaan. Ia mestilah untuk mentransformasikan dan membawa Malaysia ke arah sesuatu yang lebih baik, ke arah pencapaian matlamat yang lebih tinggi. Dan itulah perjalanan yang saya mahukan semua rakyat Malaysia merasakan bahawa mereka ialah sebahagian daripadanya, satu keluarga dalam 1Malaysia. Dan Insya-Allah, kita akan sampai ke situ. Dengan sokongan anda semua, kita akan sampai ke situ.

No comments:

Post a Comment